Artikel

Sarawak Dijangka Selesai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Pada Bulan Ogos – Akan Menjadi Negeri Pertama Selesaikan Program Imunisasi

Khairy Jamaluddin hari ini telah menghadirkan diri ke negeri Sarawak, dan berkongsi lanjut berkaitan Program Imunisasi Covid-19.

Menurut KJ, Sarawak dijangka akan menerima sepenuhnya vaksin untuk 2.2 juta penduduk Sarawak sebelum akhir bulan Ogos. Ini akan membolehkan program imunisasi Covid-19 dapat diselesaikan sepenuhnya sebelum penghujung Ogos 2021 kelak di Sarawak.

Pembekalan dengan skala lebih besar akan dilakukan bermula awal Jun ini. Penghantaran dijangka dilakukan setiap minggu, dengan sasaran sejumlah 4.4 juta dos menjelang penghujung Ogos.

Untuk jayakan perkara ini, Sarawak perlu mencapai kadar purata suntikan sebanyak 45,000 suntikan sehari, supaya dapat diselesaikan pada penghujung Ogos 2021 ini. Dengan sasaran ini, Sarawak dijangka menjadi negeri pertama yang selesaikan Program Imunisasi Covid-19 di Malaysia.

Sarawak diberikan perhatian utama, kerana sekiranya darurat ditamatkan pada 1 Ogos kelak, negeri Sarawak secara undang-undangnya perlu melaksanakan pilihanraya negeri dalam tempoh 60 hari. Seperti ramai sedia maklum, sekiranya semua rakyat tidak divaksin sepenuhnya menjelang tempoh pilihanraya, ia akan membawa kepada risiko tinggi bukan sahaja untuk negeri Sarawak, tetapi untuk seluruh Malaysia.