Artikel

Kemiskinan Digital Masih Menghantui Sistem Pendidikan Negara

Kemiskinan digital atau diklasifikasikan sebagai ketidakupayaan untuk menggunakan teknologi maklumat – disebabkan kekurangan akses peranti atau kekurangan kemampuan menggunakan teknologi, kini masih menghantui sistem pendidikan negara.

Takrifan ini di bawah pemerhatian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menilai jurang digital dalam kalangan para pelajar di bandar serta luar bandar negara.

Untuk makluman, berdasarkan dapatan pada data 2019 – sememangnya penerapan digital isi rumah di luar bandar jauh lebih rendah pada penggunaan telefon pintar, komputer riba, tablet dan komputer peribadi.

Malah pendedahan pemilikan peranti pintar ini dilihat turut berbeza dalam kalangan etnik bagi pelajar berusia 5 hingga 17 tahun dan 18 hingga 23 tahun.

Di mana untuk penggunaan komputer peribadi, komputer riba dan tablet masih rendah kepada pelajar berusia bawah 18 tahun, sementara telefon pintar menunjukkan capaian tinggi.

Manakala, pelajar 18 tahun dan ke atas pula memiliki kekurangan dari segi pemilikan komputer peribadi dan tablet.  Berdasarkan pengamatan, etnik Cina dan India lebih memberi pendedahan penggunaan komputer peribadi dan komputer riba berbanding etnik bumiputera.

Seterusnya, perbandingan pemilikan peranti pintar mengikut negeri pula – jelas memaparkan hanya 9 negeri sahaja merekodkan pemilikan komputer riba melebihi 90%, manakala negeri yang mencatatkan pemilikan di bawah 80% adalah Kelantan dengan 76.9% dan Sabah pula 79.8%.

Walaupun pemilikan peranti telefon pintar tinggi dalam kalangan pelajar, namun ia dilihat tidak mencukupi untuk memenuhi proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Kenyataan ini berasaskan jumlah isi rumah keluarga.

Seharusnya dasar yang relevan perlu dirumuskan bagi megurangkan jurang digital yang sedia ada. Langkah sedemikian akan membantu sistem pendidikan negara membantu para pelajar memenuhi tuntutan pembelajaran mereka. khususnya ketika era pandemik ini.

Perolehan pendidikan yang berkualiti dapat terus dijamin, meskipun hanya berpaksikan kepada sidang maya.