Artikel

Lebih 12,600 PKS Mikro Pertanian – Terima Dana Sokongan Berjumlah RM151.02 Juta

Sidang maya LAKSANA Kementerian Kewangan (MOF) sebentar tadi, telah memaklumkan 12,644 Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Mikro Pertanian kini telah menerima dana sokongan.

Penyaluran dana itu telah diagihkan, setakat 14 Mei 2021 sekitar RM151.02 juta jumlah peruntukan diterima pemain industri pertanian dan makanan yang terjejas.

Pada masa yang sama, sejumlah RM421.2 juta pembiayaan mikro kredit penjana juga telah diagihkan di bawah BSN. Angka peruntukan itu turut memanfaatkan sekitar 12,666 PKS Mikro yang lain.

Tidak hanya dana pembiayaan, bahkan bantuan penggunaan teknikal dan digital turut disumbangkan kepada PKS, syarikat di peringkat pertengahan (MTC).

Dana bagi bantuan teknikal tersebut berjumlah RM66 juta, telah diagihkan. Ini merangkumi bahagian jualan buku, makanan dan perkhidmatan lain.

Tengku Zafrul menegaskan menerusi dana ini, ia secara terus dapat memberi sokongan kepada semua premis perniagaan dalam memastikan kelangsungan operasi mereka kekal terjamin.

Langkah berterusan ini selari dengan sasaran negara mencapai pertumbuhan pada paras 6% sehingga 7.5% bagi 2021.