Artikel

PKP Skala Penuh Cenderung Penutupan 40% Operasi PKS – Persatuan SME

Susulan peningkatan kes COVID-19 yang kini telah mencecah melebihi 6,000 kes positif harian, orang awam mulai menyarankan penerapan Perintah Kawalan Pergerakan secara menyeluruh seperti PKP 1.0 dilaksanakan semula.

Ini termasuklah kawalan lebih rapi pada operasi sektor ekonomi – yang berkaitan dengan kluster tempat kerja. Namun begitu, berdasarkan tinjauan sekiranya tindakan sedemikian dilakukan – ini akan cenderung kepada penutupan operasi perniagaan hampir 40% PKS.

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Malaysia) kini menyatakan pendirian untuk tidak melakukan sekatan pada skala penuh terhadap sektor ekonomi.

Tidak hanya penutupan operasi – laporan turut mendedahkan sekitar 91% pendapatan PKS dijangka terjejas berikutan pelaksanaan PKP 3.0 ini. Manakala 37.5% pula akan mengalami penyusutan 50% pertumbuhan perniagaan.

Menurut Presiden SME Malaysia, Datuk Michael Kang – 65% responden kajian menyatakan bahawa moratorium pinjaman automatik perlu dilakukan sementara 88.5% bersetuju bahawa prestasi perniagaan akan terjejas jika agihan suntikan vaksin masih perlahan.

50.4% bahkan menyatakan bahawa mereka sanggup menanggung kos vaksinasi sendiri demi perlindungan semua pihak.

Melihat pada situasi ini, rata-rata pemain industri PKS mengakui bantuan, insentif kerajaan ketika ini penting untuk kelangsungan operasi semua ekonomi.