Artikel

Selangor Tidak berhasrat Laksana PKP Menyeluruh – Ia Beri Kesan Kepada Peniaga Kecil

Kerajaan negeri Selangor tidak menyokong pelaksanaan PKP secara menyeluruh – langkah itu berikutan kadar kebolehjangkitan yang masih rendah serta mengambil kira kesan yang di alami peniaga kecil sekiranya ekonomi ditutup.

Pihaknya kini dalam fasa akhir memperolehi bekalan vaksin di bawah pentadbiran mereka untuk mengatasi permasalahan tersebut. Tindakan ini dilihat wajar untuk memastikan 80% penduduk di Selangor mencapai paras imuniti yang digariskan.

Ini kerana setakat ini, hanya 3.3% dari populasi warga Selangor yang telah divaksinasi di bawah pengurusan negara – angka ini jauh lebih rendah berbanding negeri lain. Menurut Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Negeri Selangor seharusnya agihan bekalan vaksin perlu lebih telus untuk meningkatkan produktiviti suntikan dos.

Oleh itu, pelaksanaan secara agresif perlu dilakukan di peringkat negeri khususnya memastikan warga pekerja Selangor terhindar dari penularan yang lebih besar.

Program vaksinasi Selgate kini menyaksikan ketersediaan 3,500 majikan berhasrat melakukan pembelian vaksin tersebut. Berdasarkan angka kasar lebih 1 juta pekerja di Selangor telah berdaftar untuk mendapatkan vaksin menerusi aplikasi Selangkah.

Sebarang makluman lanjut akan diketahui kelak menerusi pengumuman Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari yang dikhabarkan pada minggu hadapan.