Artikel

Tawaran 2 Juta Dos Vaksin Sinovac Kepada Pulau Pinang, Tidak Benar – Khairy Jamaluddin

Pada sidang maya Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin hari ini (19 Mei) menjelaskan isu tawaran 2 juta dos vaksin Sinovac oleh syarikat swasta kepada Pulau Pinang sebelum ini adalah tidak benar.

Tawaran yang diklasifikasikan sebagai ‘scam’ itu dikatakan tidak wujud. Kenyataan ini berikutan semakan yang telah dilakukan – tiada sebarang makluman diperolehi berhubung sumbangan tersebut.

Pihak autoriti sememangnya mengalukan tawaran yang sah untuk memudahkan proses pembekalan vaksinasi yang sedang berlangsung.

Pada masa yang sama, Khairy turut menjelaskan pihaknya memahami permintaan agresif yang sedang dilakukan beberapa negeri berhubung perolehan vaksin sendiri. Ketika ini hak tersebut tidak dinafikan dan akan dipenuhi dari semasa ke semasa.

Untuk makluman, kerajaan negeri Selangor kini dalam fasa akhir memperolehi bekalan vaksin di bawah pentadbiran mereka. Program vaksinasi Selgate kini menyaksikan ketersediaan 3,500 majikan berhasrat melakukan pembelian vaksin tersebut. Berdasarkan angka kasar lebih 1 juta pekerja di Selangor telah berdaftar untuk mendapatkan vaksin menerusi aplikasi Selangkah.

Khairy turut menjelaskan agar semua pihak tidak mempolitikkan proses agihan vaksin dibawah PICK ini. Sememangnya proses pembekalan mengambil masa yang lama, namun perkara itu dapat dipertingkatkan dan diberi jaminan untuk dipenuhi sehingga akhir tahun ini.