Artikel

Syarikat Induk Shopee Catat Kerugian Bersih AS$422 Juta – Ketika Persaingan Bersama Grab, GoTo Semakin Rancak

Penggabungan antara Gojek dan Tokopedia selaku GoTo diperlihatkan mampu memberi saingan menarik pada landskap teknologi Asia Tenggara – khususnya kepada pesaing terdekat seperti Grab dan Sea, entiti teknologi milik Singapura.

Sea – syarikat induk Shopee kini mengumumkan peningkatan pada paras kerugian bersih yang dicatatkan suku tahunan kumpulan sekitar AS$422 juta yang berakhir Mac lalu. Secara jelasnya peningkatan kerugian bersih ini adalah sebahagian dari usaha entiti untuk mengukuhkan pemasaran agresif dan meningkatkan tenaga kerja.

Meskipun peningkatan kerugian itu berlaku, pendapatan Sea masih memaparkan lonjakan pada suku pertama dengan AS$1.76 bilion berbanding tahun lalu sekitar AS$714 juta.

Peningkatan ini didorong hasil perkembangan perniagaan Sea untuk bersaing bersama unicorn teknologi Asia Tenggara yanga lain.

Antaranya adalah permintaan platform e-dagang Sea meningkat sehingga 250%, malah krisis pandemik COVID-19 pula dilihat memperkasakan lagi peralihan digitalisasi kalangan pengguna global.

Tidak hanya itu, segmen permainan atas talian pula telah mula memaparkan perolehan keuntungan operasi sekitar AS$431 juta. Manakala perkhidmatan penghantaran makanan serta transaksi digital juga memaparkan perkembangan tinggi.

Di Indonesia pula, Shopee dan Tokopedia adalah dua platform e-dagang terbesar.  Ia adalah saingan terdekat bersama Gojek dan Grab. Sementara itu, di Singapura, Sea dan Grab dijangka melancarkan bank digital seawal tahun depan.

Untuk makluman, tidak seperti Grab mahupun Gojek – Sea kini telah mulai tembusi Amerika Latin di mana perluasan e-dagang pada pasaran Brazil serta Mexico sedang dilakukan untuk meningkatkan pertumbuhan mereka.

Menerusi langkah penyenaraian yang dilakukan oleh para pesaing teknologi Asia Tenggara – ini secara tidak langsung membuka lebih banyak ruang pelaburan pada pasaran mereka.