Menyedari ramai pihak tidak ketahui kerugian yang di alami negara pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 Mac 2020 lalu – Tengku Zafrul, Menteri Kewangan tampil dengan penjelasan lanjut pada status Facebooknya.
Menurutnya – PKP 1.0 dianggarkan telah memberi kesan kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari kepada ekonomi negara. Dengan pelaksanaan PKP 1.0 dari 18 Mac hingga 3 Mei 2020, ekonomi negara telah menguncup — Mac 2020: -5.9%; April 2020: -28.8%; Mei 2020: -19.7%.
Untuk makluman momentum ini mendorong kepada penguncupan KDNK terbesar negara iaitu -17.1% pada suku kedua 2020. Tidak hanya itu, kadar pengangguran negara turut melonjak cecah 5.3% dengan 826,100 penganggur dicatatkan pada Mei 2020. Ia adalah kadar tertinggi setelah krisis komoditi pada 1980-an.
Namun pertumbuhan negara mengalami peningkatan positif apabila pada siri PKP 2.0 pembukaan 5 sektor ekonomi berkepentingan telah diselaraskan. Negara dilihat berjaya mencatatkan penguncupan yang lebih kecil — Januari 2021: -3.5%; Februari 2021: -3.6% dan pertumbuhan positif pada Mac 2021 iaitu pada 6%.
Maka melihat pada dinamik ekonomi negara – Tengku Zafrul menidakkan saranan untuk menutup ekonomi secara menyeluruh. Ini kerana, buat masa ini tidak ada mana-mana negara di seluruh dunia melakukan tindakan sedemikian.
Penutupan ekonomi tidak wajar untuk golongan rentan dan pertumbuhan Malaysia. Ketika ini penerapan SOP yang lebih ketat dan mengehadkan aktiviti sosial perlu dilaksanakan. Ini meliputi SOP premis perniagaan dan pematuhan SOP dalam kalangan orang awam.
Tengku Zafrul menegaskan pencegahan COVID-19 kembali kepada kita. Dengan pematuhan SOP yang ketat dan program vaksinasi yang meluas, rakyat Malaysia mampu mengatasinya.