Artikel

Krisis Pandemik Dijangka Dorong Lebih Banyak Penutupan Institusi Pendidikan Swasta – Laporan

Kehadiran pandemik COVID-19 sejak tahun lalu tidak sekadar memberi impak kepada pendidikan awam negara malah turut kepada pendidikan swasta. Di mana pendaftaran pelajar swasta dilihat telah menurun secara mendadak sehingga mencecah 50%.

Kenyataan ini secara tidak langsung mampu mendorong kepada penutupan operasi institusi pendidikan swasta – tahun lalu, sekitar 60 institusi pendidikan tinggi swasta telah ditutup. Ia disebabkan krisis kewangan.

Keperihatinan ini dizahirkan oleh Institusi-Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (PHEI) pada laporan The Malaysian Reserve – yang menjangkakan kejatuhan peratusan penglibatan pelajar terus merudum.

Beberapa aspek telah dikenalpasti – proses kelulusan visa yang perlahan dan kebimbangan pelajar berhubung penularan dilihat meruncingkan lagi situasi pendidikan swasta.

Seharusnya pihak kerajaan tampil dengan pakej rangsangan khusus buat pendidikan swasta untuk mengekalkan momentum operasi mereka tanpa mengugat penglibatan para pelajar.

Ini kerana, aktiviti pembelajaran secara atas talian masih diteruskan namum peruntukan terhadap tenaga pekerja pendidikan swasta difahamkan terpaksa mengalami pengurangan rentetan krisis kewangan ketika ini.

Melihat situasi itu, maka tidak hairanlah mengapa trend penerapan ekonomi gig menjadi alternatif kepada semua pihak untuk meluaskan kadar pendapatan mereka. Penulis berpendapat pihak pentadbiran harus tampil atau melanjutkan sokongan perbelanjaan terhadap sektor swasta.

Jaminan ini akan membantu ramai pihak meneruskan kelangsungan operasi mereka tanpa meningkatkan kadar pengangguran negara.