Artikel

Sekitar 47 Kluster Melibatkan Lebih 6,100 Kes – Berpunca Dari Perjalanan Rentas Negeri, Daerah

Sekatan perjalanan rentas negeri dan daerah negara dilihat adalah tindakan wajar  – apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini mendedahkan sekitar 47 kluster melibatkan 6,132 kes adalah daripada punca tersebut sejak 7 Disember 2020.

Antara kawasan negeri yang terlibat adalah seperti kluster Tembok Mempaga yang berasal dari Kuala Lumpur dan di kesan di Pahang. Laporan pertama di kesan pada 29 Disember lalu dan disahkan telah berakhir pada 13 Mei lalu.

Selain itu, kluster Pasai di Sarawak pula adalah kluster terbesar dan ia berasal dari Johor Bahru. Penularan itu telah dikesan pada 9 Januari dan membawa kepada 2,696 kes. Bagaimanapun ia telah diisytihar berakhir pada 12 April lalu, setelah tiada pengesanan kes baharu selama 28 hari.

Begitu juga dengan kluster Tembok Bukit Besi yang mula dikesan menerusi kes indeks dari Johor, namun menular di Terengganu. Tetapi penamatan kluster ini telah diumumkan pada 27 April lalu.

Manakala kluster Kampung Domis yang bermula di Kelantan ke Selangor ketika ini, dijangka akan berakhir pada 18 Jun kelak.

Melihat situasi ini, sudah pasti tindakan menyekat pergerakan rentas negeri adalah langkah terbaik.  KKM pada kenyataan 13 Mei menegaskan Malaysia berisiko untuk terima kehadiran tsunami COVID-19, seperti apa berlaku di India.

Sekiranya langkah pematuhan tidak diperketatkan – angka penularan harian tersebut akan terus meningkat di negara.