Artikel

Penerapan PKP Di Seluruh Malaysia, Adalah Tindakan Tepat Depani Pandemik COVID-19 – WHO

Melihat pada peningkatan kes positif COVID-19 harian di Malaysia – langkah penerapan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara adalah tepat, untuk depani penularan pandemik yang lebih tinggi.

Berdasarkan laporan Bernama, wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Ying-Ru Jacqueline Lo – tindakan itu wajar berikutan situasi kapasiti sistem kesihatan negara yang sedang kritikal ketika ini.

Menerusi pengaktifan semula sekatan ini – ia dapat membantu pihak autoriti berserta warga Malaysia mengimbangi semula penularan kes yang berlaku. Had pergerakan mampu menurunkan kadar penularan semula.

Kenyataan ini turut disokong Ketua Pengarah Kesihatan negara, Tan Sri Dr Noor Hisham ketika sidang media bersama Dato’ Sri Ismail Sabri semalam (11 Mei) berhubung situasi kesihatan semasa.

Menurutnya nilai kebolehjangkitan (Rt) negara kini memaparkan peningkatan dan berdasarkan graf data sasaran – negera telah melintasi garis merah iaitu tidak mencapai penurunan yang digariskan.

Malah DG turut menyatakan sistem kesihatan negara ketika ini di tahap kritikal untuk memenuhi kemasukan pesakit positif COVID-19.

Pada masa yang sama, 92% jangkitan ketika ini adalah dalam kalangan warga tempatan – data ini membimbangkan situasi negara.

Maka penerapan semula langkah sekatan harus dipatuhi oleh seluruh rakyat di Malaysia. Tindakan ini tidak hanya membantu petugas barisan hadapan malah membantu negara memulihkan semula prestasi kesihatan dan ekonomi negara.

Orang awam dinasihatkan untuk terus menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, kebersihan diri dan jauhi kawasan orang ramai.