Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama tahun ini memaparkan penurunan yang lebih kecil iaitu 0.5% berbanding suku sebelumnya dengan penyusutan 3.4%.
Berdasarkan perkembangan ekonomi dan kewangan Malaysia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini (11 Mei) menunjukkan prestasi ekonomi negara telah disokong oleh pengukuhan permintaan dari luar negaeri serta eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E).
Malah, pelaksanaan agihan vaksinasi juga disasarkan membantu sentimen ekonomi negara.
Meskipun negara kini berdepan dengan penerapan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun pembukaan operasi ekonomi masih lagi berfungsi seperti biasa. Jangkaan pertumbuhan KDNK negara masih kekal pada 6% – 7.5% pada tahun ini.
Manakala bagi inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah, dengan purata antara 0.5% hingga 1.5% untuk tahun 2021 berikutan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. Namun begitu, prospek inflasi bergantung pada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi.