Artikel

Situasi COVID-19 Di India, Semua Negara Berisiko Alami Perkara Sama – WHO

Tidak hanya India – Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyifatkan setiap negara memiliki potensi untuk terdedah akan risiko penularan COVID-19 yang sama.

Ketika ini, lonjakan jangkitan COVID-19 telah mula diperlihatkan pada peringkat global, khususnya negara-negara sedang membangun, yang memiliki tekanan tinggi pada sistem kesihatan.

Kenyataan itu dapat disokong menerusi peningkatan penularan pada negara yang bersempadan dengan India iaitu Nepal dan Bhutan. Negara sedemikian telah mulai melaporkan lonjakan jangkitan sejak beberapa minggu ini.

Turut mengikuti langkah yang sama, Laos dan Thailand. Laos kini memaparkan peningkatan 200% dalam masa sebulan sahaja manakala Thailand kini berdepan dengan tekanan tinggi, apabila hampir 98% kes baharu berpunca daripada penularan virus yang lebih tinggi kadar jangkitannya.

Menurut pakar kesihatan David Heymann, seorang profesor epidemiologi penyakit berjangkit di London School of Hygiene & Tropical Medicine ternyata wabak ini turut dapat diklasifikasikan sebagai endemik iaitu penularan setempat dengan kadar yang sama pada setiap tahun

Melihat pemerhatian tersebut, ini bermakna Malaysia juga tidak terkecuali akan risiko tersebut. Sehingga 8 Mei – lebih 430,000 kes positif telah dicatatkan dan lebih 1,600 kematian telah berlaku di negara.

Angka ini jelas menunjukkan negara masih berjuang untuk kembali memperolehi angka kosong pada nilai keberjangkitan negara. Selain penegasan langkah pematuhan SOP yang tinggi – agihan vaksinasi negara juga antara faktor positif yang mampu membantu imunisasi semua pihak.

Data sehingga 8 Mei, Malaysia memaparkan 2% (lebih 670,000 individu) daripada populasi negara telah menerima 2 dos suntikan vaksin. Sementara itu, 3.2% (lebih 1.06 juta) daripada populasi pula telah menerima 1 suntikan dos vaksin. Diharapkan pemberian jumlah vaksin yang lebih tinggi dapat dilakukan negara untuk mengurangkan nilai risiko pada penularan ketika ini.

Malah, menerusi siaran senarai premis yang berpotensi menjadi titik penularan negara pada Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) pula diharapkan dapat memberi kesedaran kepada semua rakyat Malaysia untuk meningkatkan langkah pematuhan SOP mereka. Seperti yang umum ketahui, mana-mana individu yang telah mengunjungi premis yang terlibat, di minta meminimumkan kontak bersama orang awam.

Sekiranya terdapat simptom – individu tersebut dinasihatkan melakukan ujian saringan COVID-19 bersama pusat kesihatan berdekatan.