Artikel

Dua Model Vaksinasi COVID-19 Kini Ditawarkan Kepada Sektor Pembuatan, Serta Ekonomi Berkaitan – FMM

Mulai 28 April serta 1 Mei lalu, pengenalan dua model Program Vaksinasi COVID-19  telah disediakan kepada premis sektor pembuatan dan perkhidmatan perniagaan yang memerlukan perjalanan.

Pelaksanaan dua model ini dibawah rundingan bersama Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI) dengan Kementerian Teknologi, Sains dan Inovasi (MOSTI).

Bagaimanapun berdasarkan ciapan rasmi Menteri MOSTI Khairy Jamaluddin – program ini HANYA AKAN DIMULAKAN apabila terdapat bekalan vaksin yang mencukupi untuk masyarakat awam pada fasa ketiga dan TIDAK DIJALANKAN sekiranya mengalami kekurangan bekalan vaksin.

Ia masih diperingkat awal dan TIDAK DIAGIHKAN lagi.

Berdasarkan portal Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dua model ini adalah Model Imunisasi Perkongsian Awam-Swasta (PPP) dan Model Imunisasi Swasta (Permintaan Khas) untuk Perniagaan yang perlu melakukan perjalanan.

Untuk perincian lanjut – Model Imunisasi PPP disasarkan kepada pekerja tempatan dan pekerja asing dari sektor perkilangan dan perkhidmatan, angka minimum 1,500 pekerja, meliputi perusahaan atau lokasi kawasan industri.

Jumlah itu merangkumi kontraktor yng berada dilokasi mahupun yang telah berdaftar pada aplikasi MySejahtera.

Seterusnya, bagi Model Imunisasi Swasta (Permintaan Khas) untuk perjalanan Perniagaan pula ditujukan kepada pekerja syarikat yang terdiri dari rakyat Malaysia atau pekerja asing pemegang pas pekerjaan serta lembaga pengarah yang memiliki bukti perjalanan untuk tujuan perniagaan.

Vaksinasi akan dilakukan oleh panel syarikat (disetujui oleh Protect Health) atau hospital/klinik Kementerian Kesihatan (KKM) – pembiayaan tersebut akan ditanggung oleh premis.

Untuk syarikat yang berminat mengikuti model vaksinasi tersebut boleh berbuat demikian:

  • Model PPP – pendaftaran bermula 1 Mei, boleh berdaftar pada pautan vaksincovid.gov.my atau menghantar emel permohonan di [email protected] Sektor pembuatan dan perkhidmatan perlu memperincikan nama syarikat, senarai pekerja yang telah berdaftar pada MySejahtera serta lokasi vaksin.
  • Model Imunisasi Swasta (Permintaan Khas) untuk perjalanan Perniagaan – pendaftaran telah bermula sejak 28 April – di mana perlu memohon menerusi emel [email protected] – perniagaan yang perlu melakukan perjalanan perlu menyertakan justifikasi kukuh untuk permohonan tersebut.

Menerusi kemudahan penerapan program vaksinasi secara khusus ini mampu membendung setiap premis mengawal penularan yang berlaku di tempat bekerja. Sebarang makluman lanjut, orang awam boleh layari pada laman FMM berhubung penetapan 2 model vaksinasi ini.