Artikel

Sekitar 600 Cawangan Bank Dijangka Ditutup Di Malaysia Dalam Tempoh 10 Tahun Akan Datang

Arena perbankan dan kewangan kini berkembang pesat ke arena digital. Malah, Malaysia sendiri dijangka akan menawarkan sekitar lima lesen bank digital sebagai permulaan seawal 2022 kelak.

Selari dengannya, kini melalui kajian oleh Roland Berger, ia memperlihatkan yang mana Malaysia mungkin menyaksikan hampir 600 cawangan perbankan runcit ditutup dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Perubahan ini adalah selari dengan peralihan pelanggan ke perkhidmatan digital, dan juga perkembangan arena teknologi kewangan.

Dalam setahun dua kebelakangan ini sahaja, kita telah melihat beberapa bank tempatan mula menutup beberapa cawangan mereka. Selain itu, pelbagai perkhidmatan perbankan juga telah berubah kepada bentuk layan diri melalui penggunaan mesin. PKP ini sendiri telah melatih lebih ramai untuk menyertai arena digital dalam melakukan pelbagai transaksi kewangan.

Selari dengan ini juga, pelbagai bank dijangka akan mempercepatkan transformasi cawangan, serta mengoptimasikan lagi model perniagaan masing-masing.

Walaupun dikurangkan, kita mungkin akan dapat terus melihat bank mengekalkan cawangan di sejumlah lokasi utama dalam membolehkan pengguna melakukan beberapa urusan, disamping untuk terus mengekalkan penjenamaan mereka.