Artikel

Perkhidmatan Penstriman Video Disney+ Hotstar Memasuki Malaysia Bermula 1 Jun 2021

Arena perkhidmatan penstriman video tempatan nampaknya akan terus meriah dalam bulan-bulan akan datang. Selain lebih 20 perkhidmatan penstriman video yang sedia ditawarkan di Malaysia, kini Disney telah pun mengumumkan penawaran Disney+ Hotstar untuk pasaran tempatan.

Disney+ Hotstar akan boleh diakses pengguna bermula 1 Jun 2021 ini, pada harga langganan RM54.90 untuk tempoh tiga bulan. Disney juga akan bekerjasama dengan pihak Astro, dimana pakej khas akan disediakan untuk para pelanggan Astro.

Meliputi kandungan di Disney adalah bukan sahaja terbitan daripada Disney, Pixar, Marvel, Star Wars, National Geographic dan sebagainya – tetapi termasuk sejumlah kandungan tempatan. Antara yang sedia diumumkan akan ditawarkan melalui perkhidmatan penstriman berkenaan adalah termasuk J2: J Retribusi, Zombitopia, Ada Hantu, Ejen Ali, dan Upin & Ipin.

Dengan penyertaan Disney+ untuk pasaran Malaysia, ia akan terus memeriahkan lagi arena penstriman video yang kini boleh dikatakan diterajui oleh jenama seperti Netflix, Viu dan iQiyi di Malaysia.

Pada masa yang sama, ia juga akan memberikan pendapatan alternatif kepada pihak Astro yang sebelum ini sedia melaksanakan perjanjian eksklusif bersama pihak HBO Go.