Artikel

Undi 18 – Bakal Menyaksikan Penglibatan Lebih 1.2 Juta Belia Pada Percaturan Negara

Kerajaan sebelum ini telah memberi jaminan bahawa pelaksanaan kelayakan Undi 18 akan dilakukan menjelang PRU-15 tidak lama lagi.

Pelaksanaan di bawah pindaan peruntukan Perkara 119 ini telahpun dipersetujui sebulat suara pada Parlimen secara dwipartisan tahun 2019.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan – beberapa isu teknikal dan sistem sedang diperkemaskan pihak negara.

Tindakan pelaksanaan akan dimaklumkan kelak, melihat jaminan ini secara jelas menunjukkan pihak pentadbiran komited akan penglibatan sekitar lebih 1.2 juta belia yang berusia antara 18 tahun hingga 20 tahun pada percaturan negara.

Langkah ini sebagai usaha yang baik untuk memberi ruang dan peluang kepada golongan belia menzahirkan pandangan mereka berhubung dinamik ekonomi serta politik Malaysia. Melalui penglibatan golongan 18 tahun pada pengurusan pentadbiran negara – ia dilihat berupaya meningkatkan literasi ekonomi dari sudut pembangunan.