Umum ketahui, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam telah menyatakan setakat ini perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan. Mengambil perihal itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memaklumkan Sekatan Jalan Raya (SJR) di setiap Plaza Tol pada perayaan Aidilfitri kelak akan diperketatkan.
Perkara itu telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pada sidang PDRM hari ini (28 April). Langkah memperketatkan SJR itu bertujuan untuk mengekang perjalanan rentas negeri dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Pada masa yang sama, TS Abdul Hamid turut menyatakan cuti Aidilfitri bagi pegawai dan anggota polis negara akan dibekukan berikutan pelaksanaan tugasan pada perayaan tersebut.
Bagaimanapun, perubahan pelaksanaan hanya akan bergantung kepada arahan semasa dan penilaian risiko bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Orang awam ketika ini dinasihatkan untuk terus mengamalkan pematuhan garis panduan yang telah ditetapkan. Tindakan ini dapat membantu negara memerangi COVID-19.