Artikel

Tinjauan Dapati Secara Purata – Setiap Individu Di Malaysia Melakukan 170 Pembayaran Elektronik Pada Tahun 2020

Penerapan kaedah pembayaran digital dan nirtunai (tanpa tunai) pada landskap kewangan negara telah memaparkan peningkatan yang ketara – apabila secara puratanya setiap individu di Malaysia telah melakukan 170 pembayaran elektronik pada tahun 2020.

Kenyataan itu didapati pada Laporan Malaysia Fintech 2021 – Fintech News, di mana penerapan nirtunai nyata di dorong faktor norma baharu iaitu ekonomi tanpa sentuhan.

Untuk makluman, sehingga kini Malaysia memiliki sekitar 38 penyedia dompet digital bukan dari institusi kewangan atau dikenali sebagai neo-bank.

Melihat pada penglibatan yang rancak ini, maka tidak hairanlah mengapa kadar pertumbuhan transaksi pembayaran secara mudah alih pada tahun 2020 melonjak kepada 125% (RM460 juta) berbanding tahun 2019, pada paras penerapan 104%.

Ia didorong pertumbuhan penglibatan penyedia dompet digital utama seperti:

  • Touch ‘n Go memiliki lebih 15 juta pengguna (data akhir 2020) dan 300,000 rakan niaga
  • Boost memiliki 8.8 juta pengguna dengan 231,100 rakan niaga
  • GrabPay memiliki lebih 163,000 rakan niaga
  • MAE Maybank memiliki lingkungan 1.9 juta pengguna dengan sekitar 530,000 rakan niaga
  • BigPay memiliki lingkungan 1.4 juta pengguna dengan sekitar 800,000 rakan niaga

Tidak hanya itu, pertumbuhan itu turut dapat diperlihat pada tiga bahagian utama pembayaran digital iaitu pertumbuhan pembayaran secara atas talian, transaksi nirtunai dompet digital dan penggunaan imbasan kod QR. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nyata menjadi pemangkin, membantu menambahkan 3 juta pelanggan perkhidmatan perbankan mudah alih baru serta mendorong penggunaan dompet digital ke tahap baru.

Lebih dari 400,000 perniagaan baru juga diperlihatkan mulai menerapkan pembayaran imbasan kod QR, kenaikan 164% dari tahun sebelumnya telah dicatatkan.

Walaupun kehadiran pandemik COVID-19 telah membawa kepada penyusutan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2020 iaitu -5.6% namun ia telah mempercepatkan pertumbuhan digital negara.

Ini dapat dibuktikan menerusi sumbangan ekonomi digital kepada KDNK negara telah mencapai 20% pada tahun 2020, ia meningkat dari 19.1% atau RM289 bilion pada tahun 2019.

Melalui pemerkasaan ini ia akan membantu menyokong pertumbuhan digital serta pemain startup dalam meningkatkan segmen ekonomi negara. Malah ini juga mampu memberi sentimen yang positif pada kemasukan pelabur asing ke Malaysia kelak.