Seperti yang kita ketahui landskap kewangan negara ketika ini sedang dirancakkan oleh perkhidmatan kewangan digital dan pemain neo-bank – iaitu entiti bukan kewangan tetapi turut menyelia perkhidmatan kewangan kepada umum seperti Shopee, Grab dan seumpamanya.
Kini, AirAsia pula merebut peluang itu untuk terlibat sama dengan melancarkan AirAsia Money – tawaran perkhidmatan produk kewangan berskala kecil.
Ciri kewangan ini akan tersedia pada aplikasi super AirAsia – di mana ia menawarkan pengguna perbandingan produk dan perkhidmatan kewangan yang berpatutan kepada semua pelanggan aktif.
Ia bertindak mengfokuskan kepada keperluan pengguna berhubung pengurusan kewangan – dari segi kesedaran dan pendedahan penyelesaiannya.
Selain itu, para pengguna juga dapar mengakses berita, maklumat serta panduan berhubung kewangan – ini akan menyokong pemahaman pelanggan berhubung isu kewangan. Ia juga turut menawarkan segmen kad kredit, pinjaman peribadi di bawah kerjasama RinggitPlus.
Menurut Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia – penglibatan ini bertujuan untuk membawa syarikat berinovasi dan terus relevan di pasaran. Pengenalan ciri pusat kewangan sehenti ini akan menjadi antara keperluan utama pengguna aktif mereka.
Buat masa ini, pengenalan ciri tersebut dipaparkan pada pasaran Malaysia seterusnya akan diikuti pasaran Indonesia pada suku kedua, Filipina pada suku ketiga dan Thailand pula pada suku keempat 2021 kelak.
Sebarang makluman lanjut, pengguna boleh muat-turun aplikasi super airasia atau layari pautan airasia.com/money.