Artikel

Saiz Pasaran E-Dagang Malaysia Disasarkan Bernilai RM1.5 Trilion, Menjelang 2025

Tahun 2018 memperlihatkan nilai saiz pasaran e-dagang Malaysia sekitar RM460 bilion, namun nilai itu kini disasarkan meningkat menjelang tahun 2025 pada paras RM1.5 trilion.

Kenyataan itu diperkatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed setelah kelulusan berhubung Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang 2.0 dicapai pada minggu ini.

Fokus pelan ini adalah menjadi pemangkin kepada ekosistem e-dagang negara. Untuk makluman, ketika ini Malaysia antara pasaran e-dagang terbesar dalam kalangan negara ASEAN.

Selain itu, sasaran turut diperluaskan pada penglibatan 875,000 perusahaan kecil, sederhana (PKS) dan usahawan mikro pada penggunaan platform e-dagang.

Tidak hanya itu, kerajaan kini juga mulai mempertimbangkan pelaksanaan Super App atau platform yang menghubungkan pelbagai aplikasi sebagai alternatif sehenti. Di mana ia melibatkan perkhidmatan atas talian kerajaan (awam) dan swasta.

Keputusan tindakan itu hanya akan dimaklumkan, setelah persetujuan dicapai menerusi perbincangan bersama pihak berkepentingan.