Artikel

Gaji Minimum Malaysia Lebih Rendah Berbanding Purata Global, Perlu Dipertingkatkan – KRI

Perdebatan berhubung kebolehpasaran, isu pengangguran dan kadar penawaran gaji rendah di pasaran ini telah lama wujud sebelum kehadiran pandemik COVID-19 lagi. Apatah lagi setelah krisis kesihatan ini berlaku, secara langsung mengurangkan peluang pekerjaan baharu dan memberi tekanan kepada paras upah negara.

Merungkai tentang persoalan ini – Khazanah Research Institute (KRI) pada tinjauan Low Wages In The Job Market berpendapat pengukuhan dasar upah amat penting untuk kesejahteraan pekerja di Malaysia.

Meskipun kenaikan gaji minimum di negara ini telah berlaku secara berturutan, namun ia masih rendah dan tidak semua pihak dapat merasai paras RM1,200 tersebut – ia hanya tertakluk kepada sektor dan industri yang berada di Majlis Perbandaran tertentu sahaja. Sukar untuk dipastikan untuk seluruh pekerja di Malaysia mencapai paras gaji ini.

Untuk pengetahuan pembaca – peringkat global Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) telah menetapkan tahap gaji minimum sesebuah negara pada kadar ini, iaitu:

  • Negara Maju – penetapan gaji minimum adalah sekitar 55% daripada gaji penengah
  • Negara Sedang Membangun – penetapan gaji minimum adalah sekitar 67% daripada gaji penengah
  • Negara Pendapatan Rendah – penetapan gaji minimum adalah secara purata

Bagaimanapun ketika ini dengan had RM1,200 di Malaysia ia sekadar dalam lingkungan 45% hingga 49% sahaja daripada gaji penengah global dan tidak pada RM1,343.

Penetapan itu dilihat kurang seimbang dengan pertumbuhan produktiviti negara sejak tahun 2018 yang telah meningkat 2.2% membawa kepada nilai prestasi mencecah RM284,386 berbanding China yang hanya RM136,729.

Selain itu, merujuk PERKESO tahun 2019 pula sekitar 82% kekosongan pekerjaan menawarkan gaji pada purata RM1,000 sehingga RM2,000 atau ke bawah. Melihat penawaran ini secara jelas dasar upah negara tidak memahami kepentingan penyelarasan paras gaji.

Penyelarasan itu haruslah berpandukan kepada kos sara hidup di sesebuah persekitaran tidak hanya berlandaskan taraf pendidikan – ini kerana perbezaan kegiatan ekonomi dan pembangunan mampu meningkatkan jurang perolehan gaji tersebut.

KRI menyifat penawaran kadar upah seharusnya mampu menampung komitmen kehidupan seseorang pekerja. Sekiranya polisi sedemikian tidak dibentuk ia akan meningkatkan risiko pemulihan dan tahap defisit pekerjaan. Apa yang lebih membebankan ia akan memberi kesan jangka masa panjang kepada masyarakat Malaysia.