Artikel

Isu Data COVID-19, Seharusnya Tidak Timbul Sebarang Kesangsian – DG Noor Hisham

Kebelakangan ini terdapat pihak menyuarakan pandangan mereka berhubung pemaparan data COVID-19 yang dilihat tidak terperinci. Namun tanggapan tersebut di selar Ketua Pengarah Kesihatan negara Tan Sri Dr Noor Hisham – bahawa sistem pengurusan data klinikal negara adalah telus.

Setiap negara memiliki sistem pengurusan data tersendiri dan perlu memastikan setiap perolehan data harian klinikal adalah tepat serta wajib dimuat naik pada Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

Tanggunjawab ini digalas oleh setiap pengamal perubatan di klinik kesihatan kerajaan, hospital mahupun fasiliti swasta.

DG Noor Hisham turut menegaskan semalam, sistem pengurusan ini sentiasa dipantau menerusi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk sebarang tindakan lanjutan berhubung data yang diperolehi.

Data tersebut akan dianalisa dan disahkan sebelum ia didaftarkan – segala semakan ini di bawah tanggungjawab CPRC KKM.

Memahami terdapat pertikaian berhubung perkongsian data, pihaknya menyatakan segala pengurusan data di peringkat kebangsaan adalah tertakluk kepada undang-undang berkaitan. Pihaknya wajib untuk menjaga kerahsiaan data pesakit COVID-19.