Dinamik pertumbuhan perkhidmatan penstriman – Netflix kini diperlihatkan sedikit perlahan, rentetan daripada kekangan kandungan platform. Setakat Januari-Mac 2021 ini sekitar 3.98 juta individu telah melanggan bersama Netflix.
Angka itu nyata jauh lebih rendah berbanding sasaran 6.25 juta individu, sebelum ini.
Tidak hanya dinamik pada penglibatan namun saham perkhidmatan penstriman juga turut mempamerkan penyusutan sekitar 11% semalam. Menyedari hakikat ini – Netflix menjelaskan situasi pandemik ketika ini telah mengekang produktiviti penggambaran kandungan baharu mereka. Bagaimanapun, masih optimis akan pertumbuhan pada suku kedua meskipun ia akan lebih perlahan.
Netflix menganggarkan tambahan 1 juta langganan penstriman baharu dapat dicatatkan pada suku kedua kelak – berikutan pemaparan siri baharu seperti You, Money Heist, The Witcher dan beberapa siri yang lain akan dipaparkan tidak lama lagi.
Untuk makluman, ketika ini jumlah pelanggan penstirman Netflix berada di paras 207.6 juta individu – ia meliputi jumlah pelanggan baharu di Eropah 1.8 juta, di Asia 1.36 juta dan di Amerika Latin 360,000 pelanggan.
Sementara itu, pendapatannya masih memperlihatkan peningkatan kepada AS$7.16 bilion daripada AS$5.77 bilion pada suku tersebut, melepasi anggaran sebelum ini sebanyak AS$7.13 bilion.