Artikel

Lebih 73% Majikan Gagal Patuhi Akta 446 – Penyediaan Penginapan Kondusif Kepada Para Pekerja

Berdasarkan pemantauan melibatkan 95,870 unit penginapan pekerja – hanya 26.1% iaitu 3,874 majikan sahaja yang mematuhi kriteria di bawah Akta Perumahan dan Kemudahan Minimum Pekerja 1990 (Akta 446). Sementara itu, 73.9% iaitu 10,961 majikan pula didapati tidak mematuhi panduan tersebut.

Kenyataan ini di maklumkan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berhubung pemeriksaan mereka ke atas 14,835 majikan di seluruh negara yang dilakukan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) pada1 Februari sehingga 15 April sebelum ini.

Ini meliputi bancian ke atas 572,518 pekerja asing dan 43,698 pekerja tempatan.

Ketidakpatuhan itu merangkumi kegagalan mengikuti perundangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta penyediaan ruang rehat dan tempat makan untuk para pekerja.

Seharusnya majikan memberikan kemudahan yang selesa kepada para pekerja – jaminan keselamatan dan kesihatan mereka susulan situasi semasa pandemik COVID-19 ketika ini. Khususnya kemudahan sanitasi dan pengurusan penginapan yang lebih baik.

Menurutnya – pihak sumber manusia tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pengusaha yang didapati bersalah, gagal melaksanakan pematuhan akta tersebut. Ia kerana tindakan itu tidak sekadar mengugat kesihatan pekerja, namun pihak persekitaran.