Berdasarkan catatan kes harian COVID-19, semalam (15 April) Malaysia kembali mencatatkan angka kes positif pada paras 2,148 kes. Ia meliputi 2,129 kes tempatan dan 19 kes positif adalah import.
Untuk makluman pembaca 15 kluster baharu telah dikesan dan 6 kluster daripadanya adalah Kluster Komuniti.
Melihat angka itu – ini bermakna kadar kebolehjangkitan COVID-19 juga turut meningkat kepada 1.17 mata. Berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) – Terengganu tampil sebagai negeri tertinggi untuk catatan kebolehjangkitan dengan 1.49, diikuti Kelantan 1.35 dan Putrajaya 1.25.
Manakala bagi peningkatan kes harian pula – Sarawak mencatatkan 521 kes positif tambahan, Selangor 459 kes positif dan Kelantan 221 kes positif.
Meneliti dinamik kes COVID-19 negara, KKM telah mencadangkan agar kebenaran rentas negeri ditangguhkan. Ini termasuklah operasi Bazar Ramadan, sekiranya terdapat penularan pandemik.
Bagaimanapun, penilaian risiko masih lagi dijalankan sehingga keputusan sepakat dicapai oleh semua pihak autoriti. Segala persetujuan akan dimaklumkan berdasarkan arahan semasa.