Artikel

Lebih 68 Juta Transaksi Secara Nirtunai Dicatatkan Malaysia Tahun Lalu – Tinjauan ACI Worldwide

Sejak tahun lalu, pelbagai perniagaan dan perkhidmatan mula menawarkan kaedah transaksi secara nirtunai (tanpa tunai) bagi memudahkan proses pembayaran tanpa sentuhan. Terkini, lebih 68.74 juta transaksi nirtunai telah dicatatkan negara pada tahun lalu, 2020.

Tinjauan ACI Worldwide dan GlobalData ini jelas menunjukkan dinamik pertumbuhan pembayaran Malaysia semakin diperkasakan menerusi penerapan digitalisasi.

Catatan transaksi itu telah menyaksikan peningkatan 864% peralihan trend pembayaran rakyat negara berlaku. Dari berasaskan tunai kini mulai beralih kepada nirtunai.

Antara faktor yang mengukuhkan peralihan transaksi tersebut adalah penglibatan rangkaian pembayaran seperti DuitNow dan Payments Network Malaysia – PayNet. Tidak hanya itu, penglibatan dompet digital juga turut merancakkan lagi penggunaan transaksi tersebut – di mana jumlah transaksi menerusi dompet digital telah meningkat 171% pada tahun lalu. Angka ini jelas memaparkan penerimaan kaedah tersebut semakin diterima orang awam.

Sementara itu, melihat pada peningkatan ini – tinjauan menjangkakan jumlah transaksi secara masa nyata ini akan meningkat kepada 1.45 bilion menjelang tahun 2025 kelak.

Data ini secara tidak langsung mendedahkan – rakyat negara memanfaatkan sebaik mungkin penggunaan kewangan teknologi bagi menjamin kesejateraan mereka serta memastikan aliran pertumbuhan negara kekal berterusan.