Artikel

Sime Darby Motors Lancar Pusat Automotif Bercirikan Teknologi Tinggi – Nilai Pelaburan Sekitar RM570 Juta

Selari dengan peningkatan industri automotif negara, Sime Darby Motors kini telah memperuntukkan dana sekitar RM570 juta – bagi pembangunan Pusat Automotif Sime Darby, ia diperlihatkan sebagai hab terbesar di Asia Tenggara.

Untuk makluman, pengenalan pusat ini akan memperlihatkan penerapan teknologi peranti berhubung (IoT) pada penawaran perkhidmatan – bagi meningkatkan kecekapan operasi. Tidak hanya itu, kelengkapan tenaga teknikal berhubung kenderaan elektrik (EV) juga turut tersedia pada pusat automotif tersebut.

Sime Darby Motors turut menyasarkan untuk meningkatkan pengalaman para pengguna dengan menyediakan kemudahan hampir 200 ruang servis, sekitar 700 tempat letak kenderaan pelanggan, tempat pengisian EV dan kapasiti untuk muatan lebih dari 180 kenderaan.

Selain itu, pusat ini juga akan menempatkan 6 pusat jualan utama, dan menampilkan beberapa jenama automotif seperti BMW, Hyundai, Prosche, Ford dan beberapa jenama lain. Malah hab ini turut menempatkan rakan perniagaan seperti Sime Darby Swedish, serta ruang penyimpanan kereta terpakai di bawah Sime Darby Auto Selection.

Melalui pembangunan pusat automotif ini – Sime Darby Motors menyasarkan pelbagai kerjasama rakan niaga dapat diperluaskan pada peringkat serantau. Perancangan ini akan membawa keuntungan pada pertumbuhan ekonomi Malaysia.