Artikel

Sekitar 72% Rakyat Jepun Ingin Sukan Olimpik Tokyo 2020 Dibatalkan, Atau Ditangguhkan – Laporan

Tatkala para atlet dunia mula mengira detik 100 hari sebelum tibanya hari temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada 23 Julai kelak – namun tidak rakyat Jepun, sekitar 72% berpendapat acara sukan tersebut wajar ditangguhkan atau dibatalkan berikutan peningkatan kes pandemik COVID-19.

Berdasarkan laporan CBS menerusi tinjauan Kyodo News pada minggu ini, secara jelas menunjukkan ketidaksediaan warga Jepun untuk meraikan temasya terulung itu. Berdasarkan dapatan, 39.2% menyatakan acara Olimpik dan Paralimpik wajar dibatalkan. Manakala 32.8% pula berpendapat acara tersebut harus ditangguhkan, dan dijadualkan semula.

Hanya 24.5% sahaja bersetuju akan pelaksanaan temasya tersebut pada 23 Julai ini.

Melihat pada maklum balas sedemikian – kebimbangan rakyat Jepun ketika ini adalah berlandaskan kepada kehadiran gelombang keempat COVID-19 dan proses pengagihan vaksin yang perlahan.

Ini kerana, menurut Wall Street Journal – setakat ini hampir 1% iaitu 1.1 juta dari 125.28 juta populasi rakyat Jepun telah divaksinasi. Menerusi pelaporan itu, sekitar 60% rakyat Jepun tidak berpuas hati akan proses agihan bekalan tersebut.

Ia secara tidak langsung mengurangkan kadar keyakinan warga Jepun untuk meraikan temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 – disebabkan tiada jaminan berhubung kesejahteraan kesihatan semua pihak.