Artikel

Lebih 78% Capaian Siaran TV Berbayar Dicatatkan, Papar Peningkatan Ketika Pandemik – DOSM

Tahun 2020 adalah tahun yang cukup sukar buat semua rakyat dunia, namun ia dilihat suatu langkah yang baik buat beberapa penerapan – antaranya teknologi dan internet.

Berdasar Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT Individu dan Isi Rumah 2020 oleh DOSM – antara faktor yang menarik perhatian adalah capaian Skrin TV Berbayar telah meningkat kepada 78.9% berbanding 2019, sekitar 75.8%.

Menyedari perkara ini, nyata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini telah mulai meningkatkan permintaan para pengguna untuk memenuhi permintaan tayangan mereka.

Malah menerusi tinjauan Rnggt pada tahun lalu juga (18 Mac 2020), rata-rata pembaca lebih memilih untuk melanggan Astro atau mana-mana penstriman untuk memenuhi rutin harian mereka.

Pada masa yang sama capaian internet isi rumah juga telah meningkat kepada 91.7% berbanding 2019, sekitar 90.1%. Peningkatan ini secara jelas memaparkan penerapan internet pada kehidupan seharian adalah amat penting pada era pandemik ketika ini.

Selain itu, capaian isi rumah negara meliputi telefon pintar dan komputer juga turut menunjukkan peningkatan – dengan masing-masing 98.6% dan 77.6%. Kenaikan ini sememangnya sesuatu yang positif pada penggunaan peranti pintar Malaysia.

Ini kerana secara tidak langsung meningkatkan kemahiran rakyat negara pada penggunaan teknologi – tidak hanya pada pekerjaan, namun turut pada penggunaan perkhidmatan lain.