Artikel

Bank Dunia Rancang Salur Dana AS$2 Bilion – Beri Akses Vaksin COVID-19 Pada Negara Membangun

Memahami keperluan akses vaksinasi COVID-19, Bank Dunia kini bertindak menyalurkan dana pembiayaan sekitar RM8.27 bilion (AS$2 bilion) kepada 40 buah negara sedang membangun, menjelang akhir April ini.

Kenyataan ini telah dimaklumkan oleh Pengarah Urusan Operasi Bank Dunia, Axel van Trotsenburg.

Untuk makluman agihan dana itu adalah sebahagian daripada jumlah RM49.6 bilion (AS$12 bilion) yang telah disediakan Bank Dunia untuk proses keseluruhan membabitkan pembangunan, pengedaran dan pengeluaran vaksin COVID-19 bagi negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Langkah perluasan inisiatif ini adalah untuk mengekang penularan yang lebih besar berlaku. Ia kerana, menurut Tedros Adhanom Ghebreyesus – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pengeluaran vaksin sedia ada akan menjadi kurang efektif apabila ia terus menular dan bermutasi.

Maka usaha ini sesuatu yang baik, tidak hanya negara berpendapatan tinggi memiliki kelebihan akses suntikan vaksin bahkan negara sedang membangun dan rendah juga turut memiliki akses tersebut.