Berikutan aliran ekonomi negara yang semakin pulih – peningkatan tenaga buruh mula dipaparkan pada Februari 2021, ini bermakna kadar pengangguran negara telah menurun kepada 4.8% berbanding 4.9% sebelum ini.
Sudah pasti penawaran peluang pekerjaan ini meliputi keyakinan pemain industri berhubung pengagihan bekalan vaksin yang sedang dilakukan negara. Ini termasuklah kelonggaran operasi perniagaan pada sektor perkhidmatan, peruncitan, pendidikan dan bahagian awam telah memberi ruang untuk peniaga menjana pendapatan semula.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut menyatakan penurunan kadar pengangguran ini merangkumi pengurangan 5,000 penganggur.
Selain itu, meskipun pembukaan perniagaan telah merancakkan semula aliran negara namun sektor pelancongan masih lagi memaparkan penurunan dari segi penglibatan tenaga buruh pada industri tersebut.
Ia disebabkan perjalanan pelancongan domestik masih terhad pada sekatan pihak berkuasa dan perjalanan antarabangsa pula masih tidak membenarkan aktiviti keluar-masuk pelancong dapat dilakukan – ini memberi kesan kepada ekonomi setempat, khususnya di kawasan pelancongan.