Artikel

KKM Kini Siap-Sedia Sebarang Lonjakan Penularan COVID-19 – Beberapa Negeri Mulai Papar Peningkatan Kes Harian

Berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di beberapa buah negeri kebelakangan ini dan meliputi pengesanan 20 kluster di kawasan pendidikan – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan ketersediaan mereka untuk menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kelak.

Ketersediaan ini merangkumi nilai kebolehjangkitan yang berbeza pada setiap negeri – di mana di seluruh negara mencatatkan 1.01, sementara wilayah seperti Labuan mempunyai tahap Rt 1.59, Putrajaya (1.54), manakala negeri di Perak (1.25), Pahang (1.19), Sarawak (1.05), Kelantan (1.04), Melaka ( 1.02), dan Sabah (1.02).

Menurut Menteri Kesihatan Dr Adham Baba – segala aras pengawalan pandemik adalah bergantung kepada kepatuhan semua pihak dalam menerapkan garis panduan SOP yang telah ditetapkan.

Untuk makluman nilai kebolehjangkitan yang melepasi paras 1.0 membawa erti penularan virus berlaku dengan pantas dan itu membawa kepada penularan wabak yang lebih tinggi.

Melihat momentum sedemikian – sudah pasti perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan untuk mengekang penularan yang lebih besar berlaku – terutamanya pada negeri dan wilayah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Setakat ini, untuk pengesanan awal – KKM terus memantau pesakit yang mempunyai penyakit seperti influenza (ILI), penyakit pernafasan akut yang teruk (SARI), dan melakukan pemeriksaan kemasukan sebelum ke hospital untuk mengesan jangkitan terhadap masyarakat. Ini merangkumi perkhidmatan 63 buah hospital, termasuk tiga hospital universiti, yang diperuntukkan untuk merawat pesakit Covid-19 di seluruh negara.

Pada masa yang sama agihan bekalan dos suntikan vaksin COVID-19 juga turut diberi jaminan mencukupi untuk seluruh rakyat negara yang terlibat pada tiga fasa suntikan tersebut.  Orang ramai dinasihatkan untuk kekal menjaga kebersihan diri dan mengamalkan penjagaan rapi – tindakan konsisten ini berupaya membantu negara tangani kisis pandemik.