Artikel

Dana Makmur myWakaf BIMB Investment – Rangsang Kemajuan Instrumen, Sasar RM50 Juta Langganan

Antara elemen penting pada pembangunan ekonomi Malaysia adalah meliputi pengagihan wakaf. Memahami kepentingan itu, BIMB Investment – anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad kini tampil dengan ciri Dana Makmur myWakaf (MWF).

Menerusi penerapan platform dana wakaf ini – BIMB Investment menyasarkan perolehan sekitar RM50 Juta langganan akan dicapai pada pengenalan tersebut.

Setakat ini menurut Pengerusi BIMB Investment – Mohamed Ridza Mohamed kadar langganan telah mencapai paras RM11 juta sejak Mac lalu.

Untuk makluman, dana unit amanah pertama di bawah Rangka Bercirikan Wakaf Suruhanjaya Sekuriti (SC) ini membolehkan para pelabur mengambil bahagian pada prospek pendapatan pasaran Malaysia, Asia Pasifik dan global melalui peruntukan aset secara taktikal.

Ia turut menggunakan pendekatan kelestarian di bawah prinsip Global Compact Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGC) dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Malah pelaburan juga diperuntukkan ke pasaran Sukuk, ekuiti patuh Shariah dan aset berisiko rendah – instrumen pasaran wang Islam yang akan mengekalkan potensi peluang pendapatan.

Para pelabur boleh melakukan pada 3 kelas aset iaitu RM, USD dan AUD dengan pelaburan awal minimum RM200, USD200, AUD200. Platform dana wakaf ini berpotensi menyalurkan 50% pengagihan pendapatan sebagai Aset Wakaf melalui myWakaf AIBIM.

Adanya penerapan dana wakaf ini, ia dapat memacu kepentingan dan manfaat penerima, termasuklah sektor pendidikan, kesihatan dan ekonomi negara. Usaha ini turut dapat merangsang kemajuan instrumen wakaf negara.