Artikel

Usahasama MDEC, CIMB Islamic – Sasar Penerapan Modal Digital Bantu Tingkatkan Ekosistem Sektor Pertanian

Sektor pertanian sememangnya antara sektor yang wajar diberi perhatian untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia. Memahami tuntutan itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan CIMB Islamic hari ini (2 April) telah memeterai persefahaman untuk memacukan transformasi digital sektor pertanian negara.

Penglibatan CIMB Islamic pada usahasama ini akan memperlihatkan sumbangan dana pembiayaan mikro berjumlah RM10 juta kepada pemain industri. Berdasarkan jumlah dana itu, sekitar 500 pemain industri sektor pertanian akan menerima manfaat perolehan dana RM20,000 bagi tempoh 5 tahun.

Malah turut difahamkan jumlah pembiayaan itu berpotensi dinaikkan kepada jumlah RM25 juta.

Menerusi usaha pendekatan digital ini ia secara langsung akan menghubungkan sektor pertanian bersama sistem pendigitalan negara seperti agro robotik, dataraya (Big Data), kecerdasan buatan (AI), peranti berhubung (IoT) dan penggunaan dron untuk memudahkan pengesanan dalam meningkatkan hasil produktiviti pertumbuhan.

Antara penerapan teknologi yang telah diusahakan adalah Sistem Fertigasi Pintar di mana ia menghubungkan segala data – ia menghasilkan tanaman yang lebih tinggi. Malah penjimatan air, baja dan kos tenaga buruh dapat diselaraskan dengan baik menerusi sistem tersebut.

Langkah ini secara terus dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan peningkatan penglibatan belia serta graduan pada ekosistem perladangan pintar Malaysia. Ia juga turut dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap hasil pertanian import.

Pemerkasaan digitalisasi ini dapat meningkatkan hasil tanaman tempatan – tindakan itu dapat memberi keyakinan kepada semua pemain industri tempatan dalam memasarkan hasil negara pada peringkat serantau serta global.

Inisiatif ini secara keseluruhan turut mendapat sokongan penuh dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Di mana dengan gabungan pakar serta sokongan modal ia dapat mewujudkan kerangka digitalisasi baik pada sektor pertanian Malaysia.