Artikel

Lebih 110,000 Individu Di Malaysia Timba Kemahiran Digital, Sasar Tingkatkan Pasaran Kerjaya – Microsoft

COVID-19 nyata memberi kesan yang mendalam pada pembangunan pekerjaan di seluruh dunia. Walaupun pemacuan teknologi digital telah diperkenalkan tidak lama dahulu namun penerapan yang lebih ketara mula dilihat pada era pandemik ini.

Maka tidak hairanlah, mengapa kemahiran digital pada era ini dilihat suatu keperluan yang wajar dimiliki oleh setiap individu. Menyedari tuntutan itu, Microsoft bersama peneraju digital yang lain telah mula menerapkan pembelajaran digital kepada warga Malaysia.

Sehingga kini, lebih 110,000 individu di Malaysia telah turut serta pada pembelajaran kemahiran digital tersebut. Angka itu merangkumi jumlah lebih 30 juta individu di peringkat global yang telah disumbang oleh Microsoft.

Menurut Presiden Microsoft Asia – Ahmed Mazhari kekuatan menghadapi pandemik ketika ini adalah memiliki kemahiran baharu iaitu pengetahuan berhubung teknologi digital. Langkah ini akan menjadikan kemampuan diri individu lebih fleksibel dan dapat meneroka peluang pekerjaan yang lebih baik.

Usaha ini secara tidak langsung memberi manfaat kepada ekosistem pembangunan pekerjaan sesebuah negara.

Setakat ini, bersama usaha LinkedIn pihaknya ingin melaksanakan pengambilan pekerja berasaskan kemahiran digital tahun ini – sekitar 250,000 syarikat di peringkat global akan terlibat.