Artikel

Pengenalan Aplikasi Pas Perjalanan Digital IATA – Bantu Merancakkan Semula Sektor Penerbangan Global

Penerapan teknologi nyata memberi kelebihan kepada ekonomi negara untuk memudahkan operasi dalam perkhidmatan tertentu, termasuklah perkhidmatan perjalanan udara peringkat global.

Berdasarkan laporan Reuters, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) kini menyatakan pengenalan pas perjalanan digital dan sijil vaksinasi akan tersedia pada pertengahan April ini, iaitu sekitar 15 April.

Pelancaran itu meliputi aplikasi mereka untuk pengguna telefon pintar iOS, Apple. Sementara itu untuk pengguna Android, pengenalan aplikasi dijangka lebih lewat dapat dilakukan. Ia akan dimaklumkan dari semasa ke semasa berhubung perolehan akses tersebut.

Menurut Timbalan Presiden IATA – Kamil Alawadhi penyertaan aplikasi pas perjalanan ini dapat membantu meningkatkan kemudahan dari segi pengaturan proses daftar kemasukan perjalanan udara. Setakat ini, sejumlah besar syarikat penerbangan telah menyerahkan permohonan penglibatan pada pihak IATA.