Keputusan FTSE Russell mengekalkan negara pada World Goverment Bond Index (WGBI) dan perubahan penarafan Moody’s sebelum ini nyata menunjukkan sokongan kepada pemulihan ekonomi Malaysia.
Ia memperlihatkan jangkaan pertumbuhan pada tahun ini, 2021 pada kitaran 6% sehingga 7.5%. Lebih menarik penguncupan KDNK dan kadar kematian berikutan COVID-19 negara adalah antara yang terendah berbanding beberapa negara lain.
Menyedari kedudukan baik ini – Bank Negara Malaysia (BNM) kini menyarankan negara untuk melaksanakan penetapan aturan semula pada pertumbuhan ekonomi.
Menurut Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus pendekatan ini harus dibina untuk mendepani kesan penularan ketika pasca pandemik kelak. Antaranya adalah mempelbagaikan peluang pekerjaan buat rakyat negara.
Tanda sokongan ini telah diperlihatkan sejak akhir tahun lalu, 2020 – apabila menerusi tinjauan FMM-MIER 15% majikan telah meningkatkan jumlah pekerja mereka.
Trend itu meningkat berbanding 6% peningkatan pekerjaan pada separuh pertama tahun 2020. Tindakan ini secara tidak langsung menunjukkan sentimen perniagaan memaparkan momentum positif.
Selain itu, penekanan pada tarikan pelaburan yang berkualiti juga harus diberi tumpuan oleh negara, perluasan kapasiti inovasi dan meningkatkan pengukuhan sistem perlindungan sosial juga perlu dititiberatkan negara.
Kesemua aspek ini dilihat sebagai asas kepada pertumbuhan baharu negara – sekiranya ia dapat dicapai, ini memberi kebaikan pada aliran pertumbuhan negara.
Untuk makluman, sehingga akhir 2020 keseluruhan aset yang diumumkan BNM adalah berjumlah RM448.04 bilion. Sementara itu rizab antarabangsa pula bernilai RM432.37 bilion.