Artikel

87% Rakyat Malaysia Bersetuju – Pengenaan Cukai Wajar Dikenakan Ke Atas Vape, Bantu Ekonomi Negara

87% rakyat Malaysia hasil tinjauan responden Green Zebras bersetuju bahawa pengenaan cukai wajar dilakukan ke atas produk jualan vape – iaitu rokok elektronik, manakala 76% turut bersetuju ekonomi negara akan menerima faedah menerusi pengenaan peraturan tersebut.

Laporan pada Malaysia Insights & Perspectives on Vape ini nyata menzahirkan persepsi masyarakat negara berhubung aktiviti jualan vape harus dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan penglibatan produk itu dapat dikawal dan menyumbang kepada sektor lain.

Sekitar 74% responden pula berpendapat hasil perolehan cukai vape ini dapat dibelanjakan kerajaan untuk pembangunan bidang penting seperti pendidikan dan ekonomi.

Seperti yang umum ketahui. pada 6 November 2020 lalu – pada sidang Belanjawan 2021 kerajaan telah memutuskan untuk mengenakan duti eksais 10% ke atas produk vape manakala e-Liquid pula dikenakan duti eksais sekitar RM0.40 sen per milimeter.

Langkah pengenaan duti eksais pada e-Liquid dilihat tidak memadai berikutan ia menyumbang sebahagian besar pada pasaran.

Berdasarkan pelaporan juga lebih 1 juta rakyat Malaysia kini adalah pengguna vape, kewajaran pengenaan cukai lebih tinggi ini harus dipertimbangkan bagi membendung isu kesihatan serta pembangunan ekonomi lain.