Artikel

Touch ‘n Go Kini Melancarkan GO+, Akui Pelaburan Tiada Penerapan Pematuhan Shariah Buat Masa Ini

Seperti yang dijanjikan, Touch ‘n Go pada hari ini (29 Mac) telah melancarkan penyertaan ciri GO+ pada aplikasi dompet digital mereka.

Ciri GO+ ini merangkumi produk pasaran modal secara langsung dengan nilai serendah RM10, dana unit amanah pasaran wang ini tidak memerlukan pihak ketiga.

Untuk makluman dana asas untuk GO+ ini adalah Principal e-Cash – dana pasaran wang yang diuruskan oleh Principal Asset Management Berhad. Ia akan bertindak selaku dana pada pulangan pelaburan.

Sementara itu, baki dalam akaun GO+ tersebut tidak dianggap sebagai wang digital, deposit, dan tidak dijamin modal atau modal tidak dilindungi oleh PIDM.

Bagi turut serta pada medium ini, para pengguna boleh berbuat demikian:

  • Lengkapkan pengesahan akaun pada aplikasi Touch ‘n Go eWallet
  • Kemaskini maklumat peribadi
  • Tambah nilai minimun RM10 pada GO+ dan tingkatkan nilai tersebut

Menurut Effendy Shahul Hamid – Ketua Pegawai Eksekutif TNG, penerapan ini membuka ruang kepada pengguna aktif mereka untuk memperolehi pulangan tunai pada baki GO+. Pulangan tersebut akan dikreditkan setiap hari, pengguna boleh  menambah nilai tidak mengira waktu, dan boleh menggunakan dana tersebut.

Selain itu, penggunaan ciri ini dimaklumkan tidak tersedia kepada pengguna warga asing dan setiap pengguna hanya boleh membuka 1 akaun GO+ sahaja. Pada sidang secara maya itu juga turut menyatakan tiada caj jualan dikenakan – namun pengenaan yuran pengurusan 0.45% dan pemegang amanah sehingga 0.03% akan dikenakan untuk setahun. Manakala bagi persoalan kadar pulangan tunai pula bergantung kepada keuntungan dan kerugian bersih utama pada e-Cash berdasarkan harian.

Menyedari persoalan berhubung ketiadaan pematuhan Shariah pada ciri ini – TNG memahami terdapat permintaan yang tinggi berhubung pelaburan mesra muslim itu. Pihaknya mengatakan terdapat pelbagai perancangan berhubung penglibatan tersebut. Ia akan menjadi antara keutamaan mereka untuk penerapan pematuhan Shariah pada ciri pelaburan mereka kelak.

Buat masa ini, tiada penerapan pematuhan Shariah pada ciri GO+ – ia akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.