Artikel

Aspirasi CashNow Tawar Pinjaman Kepada Pembeli Melalui Dompet Digital Lazada

Berikutan situasi pandemik ketika ini, nyata ia memberi kelebihan kepada platform e-dagang dan aplikasi dompet digital untuk mendapatkan tempat dihati rakyat negara. Memahami trend itu, platform Lazada kini menyertakan capaian pembiayaan digital kepada pengguna aktif di platform mereka – menerusi Aspirasi CashNow.

Untuk makluman, Aspirasi CashNow adalah sebuah perkhidmatan berfungsi sebagai pembiayaan digital dan insurans mikro atau kata mudahnya ialah pinjaman kepada pengguna. Ia terbuka kepada pengguna Lazada yang berusia 18 tahun hingga 65 tahun.

Ciri di bawah Axiata Digital ini menyediakan anggaran pembiayaan bermula pada kadar RM500 sehingga RM2,500 dengan kadar faedah rendah berserta penetapan tempoh ansuran bulanan yang mudah.

Tidak hanya itu – penerapan Asipirasi CashNow turut disokong dengan pematuhan konsep shariah kepada semua pengguna. Maka sebarang permohonan berhubung pembiayaan ini tidak lagi perlu dikhuatir.

Bagi pengguna yang ingin memohon dana ini boleh rujuk kepada aplikasi Lazada atau pautan laman web Lazada – setelah ia diluluskan dana tersebut akan dikredit kepada dompet digital para pengguna.

Melalui penyertaan kaedah pembiayaan ini ia dapat meningkatkan lagi penglibatan dan pengalaman pembeli pada ruang membeli-belah e-dagang Lazada.