Penetapan tarikh akhir bagi pendaftaran vaksinasi COVID-19 berkemungkinan dipertimbangkan oleh kerajaan. Kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu jelas menunjukkan pendaftaran tersebut tidak selamanya dibuka.
Meskipun tidak dilampirkan jangkaan penutupan pendaftaran tersebut, Menteri Penyelaras Program Vaksinasi COVI-19 Kebangsaan – Khairy Jamaluddin pernah memberi jaminan sebelum ini bahawa pendaftaran suntikan tersebut akan terus dibuka sehingga mencapai paras 80% penduduk negara.
Setakat ini sasaran agihan suntikan vaksin untuk kumpulan fasa pertama telah menghampiri sasaran 500,000 individu dan lebih 6 juta rakyat negara telah berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera.
Namun berdasarkan pemerhatian KKM, kadar pendaftaran vaksin dilihat semakin perlahan. Antara negeri yang memaparkan pendaftaran paling rendah ketika ini adalah Kelantan (161,627) dan Sabah (274,438).
Situasi ini nyata membangkitkan persoalan berkenaan tempoh yang diperlukan untuk 24.3 juta populasi negara dalam melaksanakan pendaftaran selaku penerima vaksin COVID-19.