Persediaan untuk garis panduan pembukaan semula pintu sempadan antarabangsa kelak adalah antara tumpuan utama pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Buat masa ini, kementerian telah meneliti 6 negara Asia yang dijangka terlibat pada agenda gelembung pelancongan itu. Ianya terdiri dari negara Korea, Jepun, Singapura, Vietnam, Brunei dan China.
Datuk Seri Nancy Shukri – Menteri MOTAC menyatakan ketersediaan negara berhubung prosedur operasi standard (SOP) adalah amat penting, khususnya kewajiban melakukan ujian saringan COVID-19 sebelum perjalanan.
Tindakan itu bagi memastikan pematuhan perjalanan tidak mengugat kesejahteraan orang awam.
Bagaimanapun, setakat ini keputusan pembukaan sempadan tersebut masih berpaksikan kepada arahan semasa kerajaan berhubung kawalan sekatan dan penilaian risiko bagi kes harian COVID-19 negara.
Datuk Nancy pada perasmian Sesi Jerayawara Dasar Pelancongan Negara 2020-2030, turut menyatakan sekiranya sempadan antarabangsa dibuka – antara aktiviti pelancongan yang akan dibuka adalah sukan golf, berenang, dan menyelam seperti snorkelling.