Krisis pandemik ketika ini nyata telah mempengaruhi pelbagai faktor merangkumi sektor ekonomi dan rakyat negara. Menyedari perkara itu Bank Islam Malaysia kini melancarkan segmen dana baharunya di bawah anak syarikatnya iaitu – Dana BIMB-ARABESQUE Global Shariah Sustainable Equity (BGSEF) pada sidang maya pagi ini.
Menerusi sidang itu, terdapat beberapa penjelasan berhubung segmen dana tersebut – ia meliputi ESG iaitu Persekitaran, Sosial dan Pengurusan yang menyasarkan peningkatan modal bagi jangka masa panjang dan sederhana untuk pelaburan.
BGSEF menyepadukan pertimbangan ESG dalam proses pelaburannya dan menerapkan pematuhan Shariah, sejajar dengan prinsip Global Compact Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGC). Tidak hanya itu, BGSEF juga memanfaatkan kemajuan pada penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam melengkapkan pemilihan saham dan peningkatan prestasi.
Selain itu, penerapan segmen BGSEF ini selari dengan Garis Panduan Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Platform ini membuka pelaburan dalam lima kelas mata wang: Kelas Ringgit Malaysia, Kelas Hedged Ringgit Malaysia, Kelas Dolar AS, Kelas Dolar Australia dan Kelas Dolar Singapura. Dana ini tersedia untuk langganan kepada pelabur dengan nilai pelaburan awal hanya RM500, HEDGED RM500, USD500, AUD500 atau SGD500.
Ini meletakan sokongan BIMB Investment pada inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) sebagai pasaran kewangan Islam dunia.
Berdasarkan pelancaran itu – BIMB Investment menyasarkan aset pengurusannya meningkat mencapai RM2.5 bilion. Manakala untuk jangkaan BGSEF pada aset di bawah pengurusan pula adalah sekitar RM100 juta bagi tempoh 24 bulan.