Pejam celik – sudah setahun Malaysia melaungkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tanggal 18 Mac 2020.
Pelbagai perkara telah terjadi, terlalu unik dinamik negara dalam mengatasi era pandemik COVID-19 ketika ini. Ia tidak sekadar mengfokuskan kepada pengawalan COVID-19 sahaja tetapi meliputi pemahaman orang awam terhadap kesan ke atas ekonomi negara, tahap pembangunan peluang pekerjaan negara serta dasar perbelanjaan yang diperuntukkan kerajaan dalam menangani isu pandemik ini.
Tidak terkecuali juga – dalam mendidik seluruh rakyat negara untuk terus mematuhi amalan norma baharu.
Pertama – Malaysia Pernah Tampil Antara Negara Yang Pantas Bertindak Tangani Pandemik COVID-19
Pada awal Mei 2020 – buat seketika negara pernah menjadi tumpuan dunia berikutan tindakan pantas dalam mengawal situasi pandemik pada fasa pertama.
Ketika itu kita dapat lihat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) negara begitu ketat sehinggakan penularan kes harian pada catatan lebihi 200 kes, sudah cukup merunsingkan semua pihak.
Pihak penguatkuasa dan kesihatan negara antara benteng pertahanan yang bertungkus-lumus dalam mempersiapkan kekuatan anggota – sementara sektor ekonomi terus dihentikan seketika operasi mereka dengan mengamalkan konsep Bekerja Dari Rumah.
Kedua – Peruntukan Belanjawan 2021 Adalah Paling Terbesar Dalam Sejarah, Sekitar RM322.5 Bilion
Pada 6 November 2020, Kerajaan Persekutuan telah membentangkan nilai perbelanjaan bagi Belanjawan 2021 sebanyak RM322.5 bilion. Untuk makluman ini adalah angka belanjawan paling terbesar dalam sejarah negara.
Angka itu meliputi anggaran hasil Kerajaan Persekutuan berjumlah RM236.9 bilion atau 15% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Manakala Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM236.5 bilion dan Perbelanjaan Pembangunan pula RM69 bilion. Untuk pengetahuan – pada tahun 2019 sebanyak RM316,5 bilion dan tahun 2020 pula sebanyak RM299 bilion.
Peningkatan angka belanjawan ini merangkumi inisiatif kerajaan dalam membantu sektor kesihatan negara menangani COVID-19
Ketiga – Kluster Pilihan Raya Antara Pencetus Peningkatan Kes COVID-19 Negara
Antara faktor yang meningkatkan semula kadar kebolehjangkitan COVID-19 adalah disebabkan perlaksanaan Pilihan Raya Negeri Sabah yang dijalankan pada 6 Oktober 2020 lalu.
Pelan pelaksanaan ketika itu tidak diberi penegasan, ini mendorong kepada ketidak patuhan pihak yang terlibat sekaligus memberi risiko kepada individu yang melakukan perjalanan rentas negeri antara Sabah dengan negara lain .
Perkara ini turut diperakui oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pihak kesihatan negara.
Keempat – Pengurangan Had Kuarantin Dari 14 Hari > 10 Hari > 3 Hari
Sewaktu awal penularan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menetapkan had individu jalani kuarantin adalah pada 14 hari – untuk mana-mana pihak yang tiba dari sesebuah kawasan.
Tindakan itu untuk mengenalpasti gejala setelah ujian saringan dilakukan. Bagaimanapun, berkuat kuasa pada 14 Disember 2020 – KKM telah menetapkan tempoh kuarantin wajib dipendekan daripada 14 hari kepada 10 hari.
Langkah itu berpandukan kepada saranan klinikal peringkat global yang menyifatkan tempoh 10 hari kuarantin sudah memadai untuk mengesan dan memantau gejala COVID-19 pada seseorang individu.
Tidak terhenti disitu – pada 9 Februari 2021 negara dikejutkan dengan penetapan di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian 2021) bahawa had kuarantin wajib daripada 14 hari kepada 10 hari, kini direndahkan kepada 3 hari sahaja.
Arahan pengurangan itu meliputi aktiviti Menteir Kabinet yang kembali dari lawaran rasmi luar negara – tidak memerlukan mereka untuk kuarantin lebih lama sekadar 3 hari sahaja.
Perkara itu sememangnya mengejutkan orang awam kerana langkah pengurangan ini dilihat mampu merisikokan penularan dalam kalangan masyarakat negara.
Kelima – Sistem PDPR Dan TV Pendidikan Bantu Pelajar Atasi Jurang Pembelajaran
Sekatan kawalan pergerakan dan peningkatan penularan kes COVID-19 nyata mendorong sistem pendidikan negara ke arah digitalisasi – iaitu menerapkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Bagaimanapun tindakan itu tanpa sedar telah meningkatkan jurang pendidikan dalam kalangan pelajar kumpulan B40 dan luar bandar. Di mana, ia memperuntukan penggunaan peranti pintar seperti komputer riba mahupun telefon pintar.
Namun, perkara itu dilihat mampu meningkatkan bebanan kumpulan B40, luar bandar. Tidak hanya itu, disebabkan pandemik penerapan kandungan TV pendidikan nyata lebih menyerlah sebelum ini – di mana tidak membantu prestasi pelajar khususnya yang tidak memiliki peranti pintar.
Isu akan terus menjadi iktibar buat sektor pendidikan negara untuk meningkatkan taraf pendidikan Malaysia.
Keenam – Pelbagai Segmen Rangsangan Fiskal Diwujudkan Seperti PRIHATIN, PENJANA, PERMAI, MyDigital dan PEMERKASA
Apabila berlakunya krisis dalam sesebuah negara ketika inilah peranan bantuan dasar fiskal dan perbelanjaan kerajaan mula diterapkan untuk negara – bagi meningkatkan semula aliran perbelanjaan pertumbuhan.
- Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) – RM250 bilion
- Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) – RM9 bilion
- Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) – RM15 bilion
- MyDigital
- Program Strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) – RM20 bilion
Meskipun pelan bantuan ini bersifat jangka masa pendek namun ia tetap memberi kelegaan kepada sebahagian rakyat negara. Bantuan ini juga dilihat sebagai lembaran baharu untuk rakyat mencorakkan semula kehidupan dan kemahiran mereka menerusi peluang baharu.
Ketujuh – Pelaksanaan PKP Bantu Perkasakan Penerapan Ekonomi Digital
Krisis COVID-19 telah mempercepatkan peralihan penggunaan teknologi kewangan Malaysia. Situasi ini secara jelas turut menunjukkan rakyat Malaysia mula sedari bahawa platform seperti dompet digital mampu menghasilkan pembayaran digital – nirtunai yang lebih selamat, cekap dan menjimatkan kos. Transaksi antara pembeli dan penjual tidak lagi memerlukan penggunaan wang fizikal sewaktu pembayaran.
Malah peningkatan penyertaan premis tradisional kepada secara atas talian turut dapat memperluaskan empayar perniagaan pada pasaran serantau.
Berdasarkan inisiatif MyDigital – ekonomi digital Malaysia turut dijangka menyumbang sekitar 22.6% pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025. Tanggapan ini jelas menandakan peningkatan yang ketara akan berlaku pada penerapan digitalisasi negara.
Sasaran peningkatan itu merangkumi semua aspek penerapan Kecerdasan Buatan (AI), pembangunan ICT negara beserta penguasaan teknologi sokongan lain.
Kelapan- Perayaan Diraikan di Perantauan
Setiap tahun ketika cuti perayaan telah tiba – sudah pasti laluan pulang ke kampung halaman pasti akan alami kesesakan jalan raya. Namun tidak bagi tahun 2020. Itulah apa yang dirasai oleh seluruh rakyat negara pada tahun lalu.
Kesemua perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baru Cina dan pelbagai lagi perayaan pada tahun lalu perlu dilaksanakan secara bersederhana dan berada di perantauan.
Perkara ini akan menjadi sebuah pengalaman yang cukup bermakna buat negara di kala memerangi penularan pandemik COVID-19.
Kesembilan – Proklamasi Darurat Diisytihar, Memudahkan Kawalan Negara Terhadap Penularan COVID-19
Pada 12 Januari 2021, negara telah dikejutkan dengan pengumuman apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah perkenan isytihar darurat buat Malaysia.
Keputusan itu telah diperhalusi berdasarkan kedudukan kesihatan negara yang mencatatkan kes positif harian lebih 2,000 kes (ketika itu).
Berdasarkan pelaksanaan itu, status Proklamasi Darurat negara akan berkuat kuasa sehingga 1 Ogos 2021 ini atau suatu tarikh yang lebih awal sekiranya angka kes pandemik menurun dan terkawal.
Kesepuluh- Konsep Bekerja Dari Rumah Mulai Diterapkan Pada Ekosistem Pekerjaan Negara
Kebiasaannya, penerapan konsep Bekerja Dari Rumah (BDR) ini hanya dilakukan untuk mereka yang bekerja sendirian dan terlibat dalam sektor swasta sahaja. Namun disebabkan pelaksanaan PKP, ia telah mewajibkan semua pihak untuk berada di rumah dan melaksanakan tugasan mereka di kediaman sahaja.
Kini kaedah bekerja dari rumah untuk penjawat awam di seluruh negara mula diperluaskan, bagaimanapun ia tertakluk kepada arahan jabatan masing-masing. Kebenaran itu diberikan bagi memudahkan urusan harian penjawat awam, khususnya yang berkeluarga.
Hanya kehadiran 30% penjawat awam diwajibkan – manakala selebihnya akan ditentukan oleh ketua jabatan sektor awam. Perkara ini dilihat sesuatu yang baharu untuk pembangunan pekerjaan negara terutama sektor awam.
Kesebelas – Pengenaan Kompaun Ingkar SOP Dinaikkan Dari RM1,000 Kepada RM10,000
Sebelum ini, pengenaan kompaun kepada individu yang gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah pada kadar RM1,000. Namun kini, mulai 11 Mac 2021 – pengenaan kompaun terhadap individu boleh dikenakan sehingga RM10,000.
Ternyata perkara itu mengejutkan semua pihak – dan pemberian diskaun 50% dan 25% bagi pembayaran dalam tempoh 7 hari, 14 hari akan diberikan.
Pengenaan denda kompaun ini telah diwartakan di bawah Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021.