Artikel

Nokia Rancang Pengurangan Tenaga Kerja – Sekitar 10,000 Pekerja Akan Terkesan

Untuk tempoh beberapa tahun mendatang – entiti milik Finland, Nokia kini sedang merancang melakukan pemberhentian pekerjaan. Melalui tindakan itu, digambarkan sekitar 10,000 tenaga kerjanya akan terkesan.

Berdasarkan laporan Bloomberg, tindakan pengurangan 10% pekerja ini adalah didorong penurunan pendapatan syarikat – perkara ini secara tidak langsung menjejaskan segmen pelaburan produk syarikat.

Menerusi pengurangan tenaga kerja ini – Ketua Pegawai Eksekutif Nokia Pekka Lundmark mengatakan ia dapat mengurangkan kos asas operasi menjelang tahun 2023 pada anggaran RM2.95 bilion. Langkah ini diperlihatkan dapat meningkatkan kapasiti penglibatan entiti pada pelaburan rangkaian 5G kelak.

Tidak hanya itu, fasa penstrukturan semula operasi juga akan dilakukan untuk tempoh 2 tahun mendatang – dianggarkan peruntukan sekitar RM3.45 bilion akan disalurkan.

Segala perolehan kos menerusi pengurangan beberapa segmen itu akan tertumpu kepada pembangunan operasi syarikat, termasuk bahagian R&D.

Ini bermakna, strategi tersebut akan memperbaharui persaingan Nokia pada peringkat pasaran dan pelaburan – menjadi lebih rancak dan positif.