Semua pihak ketahui, pengagihan suntikan vaksin ketika ini hanya tertumpu kepada individu yang berusia 18 tahun dan ke atas. Ini bermakna negara akan memenuhi keperluan vaksinasi sekitar 26.5 juta populasi rakyat Malaysia sahaja.
Bagaimana pula dengan kumpulan bawah umur 18 tahun?
Menyedari kepentingan dan keperluan itu untuk kumpulan remaja – Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca kini sedang menjalani ujian klinikal terhadap kumpulan yang berusia 12 tahun hingga 16 tahun.
Sekiranya penyelidikan itu diluluskan dan dibawa ke Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) – kerajaan akan bertindak melakukan tambahan stok dos vaksin COVID-19 untuk memenuhi keperluan negara.
Kenyataan ini telah dimaklumkan oleh Menteri Penyelaras Khairy Jamaluddin pada sidang perkembangan Program Vaksinan COVID-19 Kebangsaan negara pada hari ini (15 Mac).