Meskipun lebih 5 juta individu telah melakukan pengisian pendaftaran berhubung perolehan suntikan vaksin COVID-19 pada aplikasi MySejahtera – ternyata sekitar 1.4 juta pengguna yang terlibat dilaporkan tidak mengisi pendaftaran tersebut secara lengkap.
Perihal ini telah dimaklumkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan – Khairy Jamaluddin pada sidang media sebentar tadi berhubung perkembangan semasa tentang agihan vaksinasi.
Tegas Menteri Khairy – pengisian secara lengkap wajib dilakukan oleh setiap pendaftar untuk memperolehi akses temu janji suntikan vaksin. Maka, bermula petang ini (15 Mac), pihak MySejahtera akan mengenalpasti pengguna yang tidak melakukan pendaftaran secara lengkap dan akan memaklumkannya menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada pengguna MySejahtera yang terlibat.
Kepentingan ini meliputi pengisian alamat pengguna – di mana pemberitahuan alamat akan memudahkan pihak kesihatan untuk menetapkan suntikan vaksin di Pusat Vaksinasi yang berhampiran, berdekatan dengan alamat pengguna.
Jika maklumat alamat tidak diisi ini memberi kesulitan kepada pihak kesihatan negara. Untuk maklumat pengguna – pertukaran alamat boleh dilakukan pada bila-bila masa di aplikasi, namun pengguna disarankan untuk memberikan lokasi alamat yang terbaharu, tempat penempatan pengguna ketika ini.
Selain memberi penegasan berhubung status pendaftaran pengguna. Menteri Khairy juga turut berkongsikan status peratusan pecahan individu yang telah menerima suntikan dos pertama vaksin ketika ini. Sehingga 13 Mac:
- Jurarawat – 23.86%
- Doktor – 22.3%
- Pegawai Kesihatan: Pembantu Perubatan, XRay dan bahagaian lain – 21.3%
- Penguatkuasa: PDRM, ATM, RELA dan bahagian keselamatan lain – 5.26%
- Ahli Farmasi – 3.4%
- Pegawai Pentadbiran dan Wakil Rakyat – 0.11%
Menerusi perkongsian ini, Menteri Khairy turut menjelaskan beliau akan tampil selaku penerima suntikan dos pertama Sinoaac pada 18 Mac kelak di Hospital Rembau, minggu ini.