Artikel

Kadar Caruman PERKESO Wajar Dinaikkan, Namun Hanya Bahagian Majikan – MTUC

Bagi anda yang telah berkerja, sudah pasti caruman adalah suatu perkara yang cukup penting untuk kebajikan masa hadapan. Melihat perkara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berpendapat keperluan kenaikan dalam kadar caruman untuk PERKESO wajar dilaksanakan. Tetapi ia hanya harus dilakukan oleh pihak majikan.

Antara cerminan yang boleh negara contohi adalah seperti Singapura dan Australia – di mana semua caruman pelindungan sosial pekerja adalah di bawah tanggungjawab majikan dan ia dibayar sepenuhnya oleh pengurusan.

Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor mengatakan pekerja di Malaysia perlu menyumbang 0.05% daripada pendapatan mereka sementara itu syarikat pula perlu membayar 1.25%. Usul kenaikan ini perlu dilakukan pada bahagian pihak majikan dan syarikat.

Tidak hanya itu, MTUC turut berpendapat sebuah dana sosial perlu dibentuk untuk membantu para pekerja yang terkesan disebabkan permasalahan bencana alam. Ini kerana setakat ini – Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) hanya tertumpu kepada pekerja yang terkesan disebabkan pemberhentian pekerjaan.

Pada masa yang sama Kementerian Sumber Manusia (KSM) juga kini sedang mengkaji keperluan untuk meningkatkan sumbangan pada PERKESO di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). Penelitian itu bertujuan untuk meringankan bebanan pekerja negara.