Artikel

Pelancongan Malaysia Merosot 85.3% – Sekadar Mencatat RM12.69 Bilion Pada Tahun 2020

Tiada pihak yang menyangka, tahun 2020 yang seharusnya menjadi tahun kegemilangan pelancongan negara kini tampil sebagai tahun kemerosotan disebabkan pandemik COVID-19. Pelancongan Malaysia tahun lalu sekadar mencatatkan kadar pendapatan RM12.69 bilion – merosot 85.3% dari 2019 iaitu RM86.14 bilion.

Penurunan ini didorong pelaksanaan sekatan perjalanan udara yang telah mengekang kemasukan warga asing. Untuk makluman kemasukan pelancong asing menyumbang kejatuhan sehingga 83.4%.

Pertumbuhan negatif ini telah diperhatikan pada pasaran perjalanan pelancongan. Ia merangkumi jarak dekat -83.5%. jarak sederhana -84.7% dan jarak jauh -79.7%.

Bagaimanapun, kedatangan pelancong antarabangsa masih lagi disokong oleh negara-negara ASEAN, Asia Timur dan Asia Selatan. Antara yang menyumbang kadar kemasukan tinggi seperti Singapura, Indonesia, China, India, Brunei, Korea Selatan, Jepun, Australia dan Vietnam.

Manakala dari aspek sumbangan perbelanjaan pula adalah Singapura, Indonesia, China, India dan Thailand. Perkara ini masih membantu menyokong pertumbuhan pelancongan negara.

Selanjutnya, penurunan ini tidak hanya dilalui Malaysia sahaja – bahkan turut dilalui negara di seluruh dunia. Antara yang turut mengalami masalah yang sama seperti Singapura -85.7%, Thailand -83.2%, Vietnam -78.7% dan Indonesia -75%.